Pages

Friday, April 18, 2014

Mari Bertani


Perumpamaan kita hidup di dunia ini adalah seumpama pengembara yang melakukan perjalanan yang sangat jauh. Berhenti sebentar di bawah pohon melepaskan lelah. Kemudian meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju. Hidup di dunia hanya sementara seumpama kita melepaskan lelah dalam suatu perjalanan yang panjang. Di saat kita berehat, janganlah kita tertidur sehingga lupa mencari bekal perjalanan ke kehidupan yang kekal abadi.

Seorang pesawah membanting tulang empat keratnya di tengah panas terik mencari bekalan kehidupannya. Seorang ayah menanam pokok durian, mungkin dia tidak merasa buah duriannya tetapi anaknya atau mungkin cucu dan cicitnya yang akan merasa. Bercucuk tanam adalah simbol usaha kita untuk bekalan masa hadapan.

Dunia adalah ladang untuk akhirat. Akhirat adalah tempat untuk kita menuai hasilnya. Berapa ramai di kalangan insan yang terlupa untuk bercucuk tanam untuk keperluannya di hari di mana tiada masa baginya lagi untuk bercucuk tanam. Hari-hari yang cukup panjang, seolah-olah akan berakhir, namun tidak jua berakhir.

Seorang insan boleh menggambarkan rumah yang dikehendakinya untuk dia hidup di dunia. Ruang tamu yang luas, kabinet dapur yang cantik, perabot-perabot yang mahal, bilik tidur yang selesa , bilik air yang bersih, rumah bertingkat-tingkat, punyai bilik yang banyak dan pelbagai lagi yang boleh diangankan.

Namun tidakkah kita sedar bahawa apa yang kita mahukan di dunia berupa kemewahan dunia memerlukan usaha yang bukan sedikit diperlukan. Tidak salah untuk mengejar dunia, tapi jangan lupa akhirat. Tetapi alangkah baiknya jika kita usahakan lebih banyak untuk kehidupan akhirat nanti.

Bukankah Allah sudah menjanjikan syurga bagi mereka yang beriman dan beramal soleh. Bukankah mudah untuk manusia, membina ladangnya sendiri, rumahnya sendiri, kenderaannya sendiri dengan hanya menanam benihnya di dunia dan menuainya di syurga. 

Berapa ramai manusia yang takut kehilangan harta benda di dunia tetapi tidak takut kehilangannya di akhirat.

Berapa ramai manusia yang lebih sayangkan harta warisnya daripada hartanya sendiri. Apabila manusia mati, segala peninggalannya berupa rumah, kereta, perniagaannya, ladangnya dan bermacam-macam harta dunia yang asalnya miliknya akan menjadi milik warisnya. 

Harta yang disayang, yang dianggap hartanya, apabila dia mati, bukan lagi menjadi miliknya. Benarlah bahawa manusia ini lebih sayang harta warisnya daripada hartanya sendiri. 

Yang dibawa, hanyalah amalan. Itulah harta si mati. Harta yang sering dipinggirkan. Harta yang akan menjadi harapan di saat berdepan dengan dahsyatnya hari akhirat. 

Marilah kita sama-sama menyuburkan ladang akhirat kita supaya nantinya tidak gersang, tanpa ada tanaman.

Marilah kita bersama-sama membina rumah kita di syurga, yang akan kekal untuk selama-lamanya.

Ber‘tani’lah, untuk kehidupan yang lebih terjamin…   


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: (لَقِيتُ إِبْرَاهِيمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ: أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلاَمَ، وَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ الْجَنَّةَ طَيِّبَةُ التُّرْبَةِ، عَذْبَةُ الْمَاءِ، (وفي رواية: وَأَرْضَهَا وَاسِعَةٌ) وَأَنَّهَا قِيعَانٌ، (وفي رواية: فَلْيُكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِ الْجَنَّةِ) وَأَنَّ غِرَاسَهَا: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ (وفي رواية: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ). «هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الوَجْهِ مِنْ حَدِيثِ ابْنِ مَسْعُودٍ»


Dari Abdullah ibnu Mas'ud berkata: Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam bersabda: "Ketika malam aku diisra’kan, aku bertemu Ibrahim (di langit yang ke tujuh), lalu Ibrahim berkata kepadaku: Wahai Muhammad, Sampaikanlah salamku kepada umatmu, dan khabarkanlah kepada mereka: bahawasanya di syurga (sekarang) tanahnya subur, airnya tawar (dalam riwayat lain: tanahnya luas), hanya saja tanahnya masih gersang (berupa dataran), maka dari itu perbanyaklah tanaman di sana dengan mengucapkan:"subhanallah","al-hamdulillah","la ilaha illallah","Allahu akbar", (dalam riwayat lain: "la haula wala quwwata illa billah") (HR al-Tirmidhi)



Never Lose Hope... 

No comments:

Post a Comment