Pages

Tuesday, April 22, 2014

Benarkah Makan Garam Sebelum Makan Sunnah Nabi?


Jika kita menjenguk ke dapur kita, barang yang wajib ada adalah garam. Ketiadaannya di dalam masakan harian kita akan dirasai. Maka tidak hairanlah ada dikalangan kita yang hilang selera makannya jika tiada garam.

Garam adalah mineral yang berbentuk batuan. Satu-satunya batuan yang boleh dimakan oleh manusia. Kandungan mineralnya diperlukan oleh badan manusia. Banyak manfaat garam untuk kesihatan manusia dan awas jangan diambil berlebihan kerana ia akan memudaratkan..


Di pasaran Malaysia sekarang, terdapat bermacam produk jenama garam seperti halagel, garam himalaya dan seumpamanya dan tidak kurang juga yang menjadikannya lampu garam hiasan.

Namun, tersebar di dalam masyarakat bahawa memakan garam sebelum dan selepas makan adalah sunnah Nabi salla Allah 'alayh wa sallam. Memang tidak dinafikan manfaat garam untuk kesihatan berdasarkan kajian saintifik, namun menyandarkannya kepada Nabi salla Allah 'alayh wa sallam tanpa bukti yang kukuh adalah merupakan satu 'jenayah'. Lebih-lebih lagi apabila bertujuan untuk melariskan produk untuk mendapat keuntungan dengan menjual nama Nabi salla Allah 'alayh wa sallam.

Jom baca tulisan Ustaz Rozaimi Ramle di dalam blog beliau yang saya nukilkan di bawah..

Adakah menjamah sedikit garam sebelum makan itu sunnah?

Tersebar di beberapa blog dan juga di Facebook tentang kelebihan menjamah sedikit garam sebelum makan dan disandarkan perbuatan ini kepada Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam. Bahkan ada juga menganjurkan kaifiat tertentu ketika menjamah garam tersebut. Ada yang menyatakan perlu meletakkan garam tersebut di lelangit menggunakan jari tertentu. Justeru, soalan yang timbul, benarkah Nabi salla Allah ‘alyh wa sallam melakukan perkara ini? Persoalan ini ana jawab seperti berikut:

Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan perkara ini. 

Hadis marfu’ (riwayat yang diangkat kepada Nabi)

Pertama

حديث علي أن النبي قال له: «يا علي، عليك بالملح، فإنه شفاء من سبعين داء أقلها الجذام والبرص والجنون»
Maksudnya: “Wahai Ali, ke atasmu (makan) garam, sesungguhnya ia adalah penawar bagi 70 jenis penyakit. Penyakit yang paling ringan (yang akan diubatinya) ialah kusta, sopak dan gila”.

Komentar terhadap periwayatan hadis:

Hadis ini palsu. Ia adalah riwayat Abdullah bin Ahmad bin Amir dari ayahnya. Mereka berdua terkenal meriwayatkan hadis batil dari Ahlul Bait. (Lihat: Ibn al-Jawzi, al-Maudhu’at, jld. 1, hlm. 289, al-Zahabi, Talkhis al-Maudu’at, hlm. 240, al-Syawkani, al-Fawaid al-Majmu’ah, hlm. 161).

قال ابن الجوزي: ولا يصح، فيه أحمد بن عامر، وعنه ابنه عبد الله، وآفته أحدهما فإنهما يرويان عن أهل البيت نسخة كلها باطلة.  
قال الذهبي: فيه عبد الله بن أحمد بن عامر كذاب وضعه في تيك النسخة على أهل البيت.
قال الشوكاني: هو موضوع وروى البيهقي نحوه من قول علي.

Kedua

حديث سعد بن معاذ أن النبي قال: «استفتحوا طعامكم بالملح، فوالذي نفسي بيده أنه ليرد ثلاثا وسبعين نوعا من البلاء أو قال من الداء»
Maksudnya: Mulakan makan kamu dengan garam. Demi zat yang diriku berada di tangannya, sesungguhnya garam menolak 73 jenis bala atau penyakit.

Komentar terhadap periwayatan hadis:

Pengarang Tanzih al-Syariah menyatakan ia dhaif dan tidak boleh untuk dijadikan syahid (penguat) bagi hadis yang lain (kerana ia terlalu lemah). (Lihat: Tanzih al-Syari’ah, jld. 2, hlm. 234)

Ini kerana terdapat dalam salasilah perawi hadis ini seorang yang bernama Ibrahim bin Hayyan bin Hakim bin ‘Alqamah. Ibn ‘Adi menyatakan bahawa dia adalah daif dan meriwayatkan hadis palsu. (Lihat: al-Kamil fi al-Du’afa’, jld. 1, hlm. 254).

Ketiga

عن أنس بن مالك رفعه إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: «ابدأوا بالملح، فإن فيه بضع وسبعين دواء، ومن بدأ بالملح فقال: بسم الله والحمد لله اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وارزقنا ما هو أفضل منه وقاه الله من عذاب القبر، ثم لا تستقر اللقمة في بطنه حتى يغفر الله له»

Maksudnya: Mulakan (makan) dengan garam, sesungguhnya padanya terdapat lebih daripada 70 
penawar. Sesiapa yang memulakan (makannya) dengan garam dan membaca: “Dengan nama
Allah, Segala puji bagi Allah, (Ya Allah) berkatilah rezeki yang Engkau beri pada kami dan
berikan kami rezeki yang lebih baik dari ini” akan dibebaskan dari azab kubur dan akan
diampunkan sebelum makanan itu keluar dari perutnya.

Komentar terhadap periwatan hadith:

Hadis ini terlalu daif dan perawinya Ali bn Yazdad dituduh sebagai pendusta. Maka hadis ini matruk (terlalu lemah). (Lihat: Tarikh Jurjan, hlm. 309)

Keempat

حديث طويل عن علي وفيه: وإذا أكلت فابدأ بالملح واختم بالملح، فإن الملح شفاء من سبعين داء الجنون والجذام والبرص ووجع الأضراس ووجع الحلق ووجع البطن.
Maksudnya: Apabila kamu makan mulakanlah dengan garam dan akhirilah dengan garam. Sesungguhnya garam adalah penawar bagi 70 jenis penyakit antaranya gila, kusta, sopak, sakit gigi, sakit tekak dan sakit perut.

Komentar terhadap periwayatan hadis:

Hadis ini palsu kerana ia diriwayatkan oleh حماد بن عمرو. (Lihat: al-Baihaqi, Dalail al-Nubuwwah, jld. 7, hlm. 229, al-Suyuthy, al-La’ali al-Masnu’ah, jld. 2, hlm. 313)

قال البيهقي: سَمِعْتُ يَحْيَى بْنَ مَعِينٍ يَقُولُ: حَمَّادُ بْنُ عَمْرٍو النَّصِيبِيُّ مِمَّنْ يَكْذِبُ , وَيَضَعُ الْحَدِيثَ. دلائل النبوة، 7/229

Hadis Mauquf yang disandarkan kepada Ali.


قال علي: من ابتدأ غداءه بالملح أذهب الله عنه سبعين نوعا من البلاء
Maksudnya: Ali berkata: Sesiapa yang memulakan makannya dengan garam maka Allah akan menghilangkannya 70 jenis penyakit daripadanya.


Komentar terhadap periwayatan hadis:

Hadis ini terlalu lemah disebabkan 2 perkara: 

Ia adalah riwayat Juwaibir. Beliau berstatus matruk (terlalu lemah sehingga semua ulama meninggalkan riwayatnya) di sisi ulama hadis.

Isa bin al-Asy’ath yang mengambil riwayat ini dari Juwaibir adalah majhul (tidak dikenali). (Lihat: Tanzih al-Syari’ah, jld. 2, hlm. 234). 

Justeru, dapat disimpulkan bahawa tidak satu pun riwayat yang sahih atau hasan berhubung isu ini. Hadis yang ada dalam bab ini kesemuanya palsu atau terlalu lemah.

Maka berhentilah menisbahkan perbuatan ini kepada Nabi kerana ia tidak sabit dalam hadis.

Wallahu a'lam.

Rozaimi Ramle

Amman, Jordan.

2 comments:

  1. terima kasih ..kajian yang mencerahkan..izin coopy

    ReplyDelete