Pages

Wednesday, July 9, 2014

Makanan Sunnah VS Amalan Pemakanan Sunnah

Mungkin tulisan kali ini akan lebih panjang daripada biasa. Hari ini, saya nak bincangkan mengenai amalan pemakanan sunnah Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam.

Ya Hanana… Beruntunglah, kita punya Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam yang mengajar umatnya memilih makanan yang terbaik. Bukan itu sahaja, baginda juga mengajar suatu yang lebih utama daripada makanan yang kita makan iaitu adab makan dan akhlak kita terhadap makanan.

Itulah inti pati sunnah Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam, mengajar manusia tentang akhlak.

Saya akan cuba menulis se‘santai’ mungkin dan cuba mengelakkan tulisan yang terlampau akademik dan ilmiah supaya kita dapat mencernakan di dalam kehidupan kita.

Beberapa ‘point’ akan saya cuba ketengahkan, semoga akan sampai kepada para pembaca.

Tulisan ini adalah hasil pembacaan dan analisis ringkas yang tiada metodologi yang kukuh selama beberapa jam di hadapan komputer tetapi diharapkan boleh dikongsi untuk dikembangkan lagi…

Mukadimah sahaja dah panjang…

Makanan Halal dan Haram, Tayyib dan Mudarat.


Termasuk keluasan dan kemudahan dalam syariat Islam, Allah menghalalkan semua makanan  yang mengandungi maslahat dan manfaat, baik yang kembalinya kepada roh mahu pun jasad, baik kepada individu mahu pun masyarakat.

Demikian pula sebaliknya Allah mengharamkan semua makanan yang memudaratkan atau yang mudaratnya lebih besar daripada manfaatnya.

Hal ini tidak lain untuk menjaga kesucian dan kebaikan jantung hati, akal, roh, dan jasad.

Dua perkara yang ingin ditekankan di sini:

#Pertama: Asal hukum semua makanan yang ada di atas muka bumi ini adalah harus untuk kita makan kecuali ada dalil dan nas yang melarangnya.

#Kedua: Islam menghalalkan semua makanan yang halal, suci, baik, dan tidak mengandung mudarat, demikian pula sebaliknya Islam mengharamkan semua makanan yang haram, najis atau ternajis, khabith (buruk), dan yang mengandung mudarat”.

Point’ ini saya tidak perlu ulas panjang. Kita boleh merujuk buku dan kitab agama atau guru-guru yang murshid termasuk sheikh guru besar Profesor Google.com.

Nabi Suri Teladan


Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam adalah contoh teladan umat manusia. Nabi menerangkan apa yang disebut di dalam al-Quran.

Allah menyuruh untuk kita makan makanan yang halal, baik dan Allah mengingatkan kita supaya jangan mengikut jejak langkah syaitan.

Di dalam al-Quran Allah menyebut beberapa nama makanan yang sudah pasti mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri semisal madu.

Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam juga memberikan beberapa contoh makanan yang baik untuk dimakan dan sebahagiannya Nabi menyebutnya dengan kelebihan dan manfaat tertentu semisal kurma.

Apa yang Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam sebut berserta dengan kelebihan dan kaifiat cara mengamalkannya pada waktu tertentu mempunyai signifikan dan nilai yang berbeza apabila seseorang mengamalkannya.

Contohnya: Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam menggalakkan umat untuk berbuka puasa dengan buah tamar dan air kosong. Kerana itu lebih utama untuk dijadikan makanan iftar. Maka di situ ada kelebihan dan nilai tertentu yang akan diberi pahala jika mengamalkannya bertepatan dengan apa yang Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam lakukan.

Tetapi salah faham yang mungkin berlaku apabila mungkin sebahagian daripada ahli Shaklee yang telah mendakwa bahawa makan makanan Shaklee juga adalah makanan sunnah untuk iftar yang sama nilainya dengan kurma dan air kosong.

Ini mungkin disebabkan kenyataan  daripada ilmuan Islam di Malaysia contohnya Dr Zaharuddin Abdul Rahman:

“Makanan Sunnah  ialah apa-apa makanan yang memberikan kesihatan dan kecergasan walau tidak wujud di zaman Nabi. Jenama  Makanan Sunnah  jangan hanya disempitkan kepada apa yang ada di zaman Nabi.”

Ya.. kenyataan itu tepat sekali namun telah di“salah guna”kan oleh golongan yang ‘ada kepentingan’.

Maka, dikeluarkan kenyataan sebegini: ‘Jom berbuka dengan ESP Shaklee, ia adalah makanan sunnah kerana berkhasiat walaupun tidak terdapat pada zaman Nabi’.

Ungkapan di atas hanya contoh, harap tiada yang melakukan sebegitu.

Meninggalkan buah kurma yang digalakkan oleh Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam dengan bertukar kepada ESP Shaklee tidak akan dapat menyamakan pahala berbuka dengan Sunnah yang dilakukan dan dianjurkan oleh Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam pada waktu dan cara yang telah ditentukan oleh baginda.

Harap anda boleh faham setakat ini. Kalau tak faham, perbanyakan Salawat atas Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam.

Rumusannya: apa yang Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam nyatakan tentang kelebihan makanan tertentu dan tatacara kaifiat dan waktu untuk memakannya yang khusus dan telah ditentukan mempunyai nilaian yang berbeza jika kita nak menggantinya dengan sesuatu yang lain.

Begitulah juga kelebihan air Zam-zam nak dibandingkan dengan air mineral yang lain. Minum air zam-zam tidaklah sama seperti minum air lain. Ia mempunyai kelebihan tersendiri.

Tetapi kena ingat bahawa pahala itu milik Allah. Allah jua yang berkuasa.

Sunnah Jibilliyyah.


Saya ingin membawa para pembaca melihat keluar sedikit daripada dimensi makanan. Supaya kita lebih memahami perkara ini. Dan ia mempunyai kaitan yang sangat rapat agar kita tidak salah faham.

Kehidupan manusia ini bermacam-macam ragam dan dibezakan dengan bangsa, tempat tinggal, iklim, suasana persekitaran, cara berfikir dan lain-lain.

Rasulullah adalah orang Arab. Islam tidak memaksa bukan arab meniru budaya arab. Pakaian dan seni yang berkaitan dengan bangsa Arab itu –jika ia dilakukan oleh Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam  dikategorikan sebagai sunnah jibilliyyah atau sunnah adat iaitu perjalanan hidup baginda disebabkan faktor keinsanan dan kearaban baginda. Ia adalah perbuatan yang dilakukan atas dasar sebagai manusia dan berdasarkan amalan atau budaya sekeliling.

Dalam erti kata lain, jika baginda bukan seorang nabi pun, sunnah jenis ini tetap wujud. Baginda memakai jubah, serban, selipar, suka kepada warna-warna tertentu, naik unta, memakai wangian dan lain. Semua ini wujud sebelum baginda menjadi rasul.

Golongan non muslim pada zaman baginda juga mengamalkannya. Selagi tiada nas yang sahih memerintahkan umat mengikutinya maka sunnah jenis ini menurut pendapat sebahagian ulama hukumnya hanyalah harus sahaja.

Maka harus untuk mengamalkannya dan harus untuk meninggalkannya.

Maka tidak menjadi masalah untuk seorang yang menganut Islam tidak pernah memakai jubah, atau serban, menaiki unta atau seumpamanya. Jangan diberat-beratkan masalah ini.

Jika Islam itu fokus utamanya mengenai cara pakai, apakah ia sesuai untuk semua bangsa?. Sedangkan manusia ini berbeza latar kegiatannya, iklim tempat tinggalnya dan cara fikirnya.

Namun jika seseorang itu melakukannya atas dasar kecintaan kepada Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam sehingga mahu melakukan apa sahaja yang dilakukan baginda, dia akan mendapat ganjaran pahala disebabkan kecintaannya.

Nafi’ menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar Radiya Allah ’anhu mengikut segala perbuatan Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam. Beliau bersolat di mana tempat baginda bersolat. Beliau akan berhenti di bawah pohon tempat Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam  berteduh, malah beliau sering menyirami pohon tersebut supaya ia tidak kering. Beliau juga melalui jalan-jalan yang dilalui Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam  serta berhati-hati mengatur langkah untuk mengikut jejak langkah unta tunggangan baginda termasuklah turun dan naik unta.

Hal seumpama ini juga menjadi amalan para sahabat yang lain. Umpamanya al-Tirmidhi meriwayatkan bahawa Abu Talut menceritakan pada suatu hari beliau memasuki rumah Anas bin Malik Radiya Allah ’anhu. Ketika itu Anas sedang memakan labu. Anas berkata, “Wahai labu! Aku tidak suka memakanmu melainkan kerana Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam  memakanmu”.

Ok. Sudah semakin jelas atau semakin kabur.

Kalau masih kabur, saya syorkan untuk membaca tulisan ini.

Pemakanan Nabi.


Pemakanan Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam juga adalah sunnah jibilliyyah. Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam  suka makan labu, makan daging kambing, makan roti, kurma, menggalakkan makan habbatus sauda, minyak zaitun, buah tin, tembikai, dan semua itu dikaitkan dengan faktor ke‘arab’an Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam.

Kalau di negara Timur Tengah, memang itulah yang menjadi makanan kebiasaannya.

Di Malaysia, kita makan nasi, ulam, ikan masin. Yang mungkin susah nak ditemui di negara Arab. Dan nabi salla Allah ‘alayh wa sallam  tidak bertemu dengan sambal belacan, budu, tempoyak, cencaluk dan lebih-lebih lagi ESP.

Makanan yang tidak pernah dimakan oleh Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam tidaklah menunjukkan ia bukan pemakanan sunnah.

Kita kembali kepada kesimpulan yang disebut Dr Zaharuddiin iaitu

“Makanan Sunnah  ialah apa-apa makanan yang memberikan kesihatan dan kecergasan walau tidak wujud di zaman Nabi. Jenama  Makanan Sunnah  jangan hanya disempitkan kepada apa yang ada di zaman Nabi.”

Saya nukilkan juga apa yang disebut oleh Ibn Taymiyyah:

“Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam  itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah mamakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam  dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri

Mudah sahaja rumusannya:

Apa sahaja yang kita makan untuk membantu kita cerdas dan cergas untuk terus taat dan menjadi hamba kepada Allah itu adalah pemakanan yang mengikut sunnah.

Kefahaman mudah adalah jika kita ber‘suhur’ dan ber‘iftar’ dengan ESP Shaklee atau apa-apa produk lain untuk tujuan kita kuat beribadah, maka kita akan dapat pahala di atas apa yang kita niatkan.

Beberapa panduan dan nasihat segar.


#1. Pilih makanan yang halal dan baik. Kalau kita merasakan nasi, timun, tomato, ikan itu baik untuk kesihatan, maka kita telah ikut sunnah Nabi dalam menjaga kesihatan dengan memilih makanan yang terbaik untuk kita. InsyaAllah dapat pahala sunnah menjaga kesihatan melalui pemakanan melalui pemahaman ke atas cara pemakanan nabi.

#2. Kita juga ikut sunnah Nabi jika kita makan dengan adab-adab makan yang diajar oleh Nabi. Baca Bismillah, Makan dengan tangan kanan, ambil makanan yang dekat dan seumpamanya. Boleh buat carian sendiri untuk tambahan.

Adab-adab makan sangat penting agar apa yang kita buat menjadi ibadah.

Pemahaman tentang adab-adab makan juga harus dikuasai agar kita tidak menuduh orang lain tidak ikut sunnah. Umpamanya apabila seseorang itu menggunakan sudu atau garpu atau pisau, jika makan western.

Begitu juga apabila melihat seseorang itu makan atau minum berdiri, kita mengatakan ia tidak sunnah. Sedangkan perbuatan itu juga harus berdasarkan hadith-hadith Nabi dan athar sahabat.

Kalau minum ESP pun tak baca bismillah, minum dengan tangan kiri, tidak mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain, minum sebab nak dapat tenaga buat maksiat, pasti dia jauh dari sunnah.

#3. Kita juga mendapat pahala sunnah sebab menolak kemudaratan. Sunnah mengelak kemudaratan itu adalah wajib.

Jika makanan yang kita makan itu mempunyai unsur-unsur yang boleh membahayakan kesihatan kita walau ia halal dan baik secara umum untuk dimakan, namun tidak baik untuk kesihatan kita, maka ia juga sunnah untuk kita meninggalkan perkara yang memudaratkan kita. Itulah keindahan Islam. Setiap perbuatan yang kita buat akan ada ganjarannya dengan niat yang betul.

Kalau tahu, kerap makan kentang goreng di kedai makanan segera itu bahaya, cuba-cubalah untuk tinggalkannya.

Kalau tahu ada produk Shaklee ni tak sesuai jika seseorang yang mengambilnya menghidap penyakit tertentu, jangan syorkan produk tersebut.

#4. Kadang-kadang tatacara perbuatan kita makan makanan yang memang nabi makan pun boleh jadi haram.

Contohnya; Kita makan bufet kambing golek di sebuah kenduri akikah. Ya, nabi memang suka makan kambing dan pernah nabi mengajak sahabat nabi makan kambing. Tapi disebabkan rasa tamak, jarang jumpa kambing golek dengan sos BBQ dan lada hitam yang menyelerakan menyebabkan hidangan yang disediakan untuk 70 orang hanya cukup untuk 35 orang sahaja.

Kita makan secara berlebihan supaya orang yang datang kemudian tidak dapat merasa kesedapan kambing golek tersebut.

Fikir-fikirkanlah apa hukum kita buat perkara tersebut.

Dalam Shaklee kita diajar untuk menebarkan kebaikan.  Berkongsi dengan orang apa yang kita ada supaya bertambah berkat.

#5. Tidak boleh mendakwa Nabi makan sesuatu makanan dengan mempunyai kelebihan tertentu tanpa dalil yang sahih untuk menguatkan tindakan atau penyataan kita.

Contohnya: Hadith palsu yang menyebut: ‘Terung itu ubat segala penyakit”. Atau Makan kismis boleh menguatkan ingatan.

Begitu juga mendakwa nabi salla Allah ‘alayh wa sallam makan dengan cara sekian..sekian..sekian, tanpa ada dalil dan nas yang sabit, maka ia juga tertolak.

Namun jika kaedah pemakanan disokong berdasarkan kajian terperinci melalui sains atau selainnya, maka jika kita hendak beramal, maka beramal disebabkan kajian tersebut. Jangan sekali-kali menyandarkannya kepada Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam. Kelak akan merosakkan agama.

Janganlah sebut Nabi suka makan dan memuji buah oren semata-mata nak menyuruh orang lain makan vita-C plus.

#6. Jangan mencerca makanan dan ia bertentangan dengan sunnah. Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam sering kali memuji makanan. Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam memuji cuka. Antara tujuannya adalah supaya kita membataskan diri kita daripada mengambil makanan yang lazat-lazat sahaja. Sekali-sekala makanlah makanan orang biasa.

Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam jika tidak menyukai sesuatu makanan, baginda akan diam dan tidak pula baginda menghalang orang lain untuk memakannya.

Kadang-kadang kita memperlekehkan sesuatu produk makanan yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat tertentu yang mungkin kita tidak suka disebabkan persaingan perniagaan, maka kita telah melanggar sunnah Nabi. Bahkan jika kita berasa hasad dengan produk tersebut maka dosa kita akan lebih bertingkat-tingkat. Na’udhubilla min Dhalik.

Jangan hasad dengki tapi banyakkanlah me‘muji’ produk Shaklee dan sebarkan kebaikannya.

Namun jika kita bertujuan untuk membongkar keburukan sesuatu makanan, kita menceritakan keburukan sesuatu makanan, maka ia menjadi satu kewajipan untuk kita membantu orang lain supaya terhindar daripada kemudaratan.

#7. Betulkan niat kita apabila mengambil produk Shaklee, mengamalkannya supaya kita jadi sihat untuk berbuat kebaikan sebagai hamba Allah dan Khalifah Allah di muka bumi. InsyaAllah, kita telah mengikut sunnah Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam dalam berinteraksi dan memberi nilai kepada makanan.

#8. Elemen penting juga di dalam amalan pemakanan yang baik ialah tidak mengikut jejak langkah syaitan. Jangan membazir, jangan boros, jangan berlebihan, jangan hasad, jangan cemburu, jangan sombong, dan jangan, jangan, jangan.

Semua benda yang ada kaitan dengan keburukan dan kejahatan itu adalah jejak langkah syaitan.

Kita yang mengamalkan produk Shaklee jangan sekali-kali mengikut jejak langkah syaitan.

Dan nasihat saya yang #9 tapi bukanlah yang terakhir, tidak perlulah kita mewar-warkan bahawa produk kita adalah “produk sunnah” jika akhlak kita tidak menggambarkan kita mengikut sunnah.

Biarlah orang kata Shaklee bukan produk atau makanan sunnah tapi pastikan diri kita mengikut amalan sunnah di dalam pemakanan. Itu yang lebih utama.

Ya.. Yang pasti kita boleh mengikut dan amalkan sunnah dalam amalan pemakanan melalui produk Shaklee.. Sunnah Nabi mengajar kita keluasan untuk mengamalkan Islam dan mudahnya mendapat pahala melalui pemakanan.

==================

Terima kasih kerana membaca perkongsian ini. Jika ada tersalah di dalam fakta dan penyampaian, harap dapat diperbetulkan segera kerana memperbetulkan kesilapan juga adalah sunnah.

Moga bermanfaat.

Saya juga mencadangkan anda untuk membaca tulisan ini;

KLIK: Memecah Dimensi Pemakanan Sunnah dan Realiti Hari ini.


8 comments:

  1. Info yg sangat berguna.tq
    http://kekalsihatdenganvitamin.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana membaca. Semoga setiap usaha dan perbuatan kita untuk kekal sihat melalui Shaklee mendapat pahala sunnah.

      Memaknakan kehidupan dengan memberi.

      Delete
  2. Perkongsian ilmu..sis suka sgt sbb skang dah jelas apa yg dimaksudkn dgn mkn sunnah yg betul...tima kasih hafizah

    Yg benar 》http://superummishoppe.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama.. semoga setiap apa yang kita lakukan menepati dengan kehendak sunnah nabi.

      Memaknakan kehidupan dengan memberi.

      Delete
  3. Bagusnya mak..sangat detail..hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihi, alhmdulillah..Moga sama-sama dapat manfaatnya..^_^

      Delete
  4. baru sempat membaca... dan mengerti ape itu makanan sunnah Nabi..
    terima kasih

    www.mrskeciksangat.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, Islam itu indah bukan..^_^ InsyaAllah stp perbuatan diniatkan kerana ibadah kepada Allah tetap dapat ganjarannya walaupun tiada pada zaman Nabi..

      Delete