Pages

Sunday, September 21, 2014

19 Wasiat Luqman Hakim Sebagai Panduan Anak-Anak Sekalian

Kehidupan kita sebagai manusia dan hamba kepada Maha Pencipta, Allah swt tidak pernah kan lari daripada sebarang cabaran, tohmahan dan sebagainya. Oleh itu, manusia sentiasa memerlukan peringatan, panduan dan pedoman setiap saat dan ketika. 

Ikuti 19 Wasiat Luqman Hakim kepada anaknya yang dicatat dalam satu surah al-Qur'an (Surah Luqman). Moga ianya menjadi manfaat buat kita semua..

1) Anakku, suruhlah orang melakukan kebaikan, tegahlah kemungkaran dan sabarlah kamu atas segala yang menimpa. Anggap musibah sebagai satu benda yang ringan.

2) Wahai anakku, ingatlah Allah banyak-banyak, sesungguhnya Allah mengingati orang-orang yang mengingatinya. Janganlah kamu menganggap amalanmu sudah banyak. Taatilah Allah, maka Allah swt akan selesaikan setiap urusannya dan melindungi daripada makhluk-makhluk.

3) Anakku, janganlah engkau cinta dunia kerana engkau tidak dicipta untuk dunia dan Allah tidak mencipta suatu pun yang lebih hina daripada dunia

4) Wahai anakku, janganlah engkau gembira dengan kesihatan yang berpanjangan.dan sembunyikanlah kesusahan yang menimpamu.

5) Anakku cukuplah yang sedikit dan redalah dengan apa yang kamu dapat. Janganlah engkau menoleh ke arah apa yang orang lain dapat kerana itu akan menyusahkanmu. Anakku, puasalah dan tutuplah mulutmu daripada makanan-makanan yang keterlaluan.

6) Anakku, bersahabatlah dengan orang-orang yang bijaksana dan redalah dengan apa yang mereka perkatakan, nescaya kamu akan menjadi bijaksana.

7) Anakku, bercakaplah dengan orang lain dengan kata-kata yang baik dan duduklah dengan ahli-ahli zikir kerana ia menghidupkan hatimu dan menerbitkan dalam diri rasa syukur.

8) Anakku, laksanakanlah hajat sekadar yang perlu dan elakkan daripada perkara yang tidak berkaitan denganmu. Janganlah menjadi orang yang suka ketawa pada perkara yang tidak diperlukan. Jadilah seorang yang lembut dan sukakan kebaikan, suka berfikir, sedikit bercakap melainkan pada perkara-perkara yang hak. Selalu menangis kerana takutkan Allah dan sedikit bergelak ketawa. Apabila engkau senyap, jadikanlah senyap itu berfikir dan apabila berkata, biarlah yang baik-baik saja.

9) Anakku, banyakkanlah diam kerana engkau akan dihormati dan engkau tidak akan sesekali kecewa kerana diam. Tetapi engkau mungkin akan kecewa kerana banyaknya ketawa.

10) Anakku, janganlah biarkan ‘ayam’ lebih cerdik darimu kerana ia akan kibaskan kepaknya pada waktu malam dan bertasbih kepada Allah. Jagalah dirimu daripada sifat cuai. Takutlak Allah dan janganlah kamu tertipu dengan kata-kata si jahil.

11) Manfaatkanlah apa yang Allah ajarkan kepada kamu. Sebaik-baik ilmu adalah yang dimanfaatkan dan memberi manfaat kepada orang lain juga.

12) Anakku, sepandai-pandai manusia adalah yang paling takut kepada Allah swt. Pelajarilah kebaikan dan ajarkanlah ia.

13) Anakku, engkau hendaklah tawadu’ (merendah diri)

14) Anankku, seseorang yang keji apabila berkata-kata akan kelihatan kejahatannya melalui lidahnya dan apabila dia senyap pun, nescaya kejahatannya diketahui juga.

15) Anakku, fahamilah erti hikmah dan jadikanlah akhlakmu sebagai seorang yang berhikmah.

16) Anakku, kenapakah engkau menghilangkan hartamu dan memperbaiki harta orang lain. Anakku, jadilah orang yang mudah digauli, manis muka dam itulah dia akhlak orang yang soleh.

17) Anakku, elakkanlah menolak permintaan orang lain dan terimalah keuzuran yang diminta orang lain. Janganlah engkau tertipu dengan kebaikanmu walaupun banyak kerana engkau tidak mengetahui yang mana satukah yang akan diterima.

18) Anakku, tidak ada yang lebih bernilai di sisi Allah, lebih daripada akal. Akal itu tidak sempurna sehingga ada padanya 10 sifat iaitu takutkan Allah, tidak takabbur, harapkan hidayah, makanan sekadar keperluan, tawaduk lebih disukainya, tidak takut melakukan kebaikan sepanjang hidupnya, tidak bergantung pada orang lain pada hajat-hajatnya, merasa banyak kebaikan orang, rasa sedikit kebaikan sendiri, dan melihat orang lain lebih baik daripadanya dan dia sendiri lebih jahat dari mereka.

19) Wahai anakku, selalulah bertemu ulama dan janganlah engkau berbahas (berlawan kata) dengan mereka nescaya mereka akan membencimu. Ambillah daripada dunia sekadar keperluan dan infaqlah (sedekahlah) daripada hasil-hasil pendapatanmu untuk akhiratmu.

Salam Sayang,
Ummu Hanan

Never Lose Hope...



Sumber Rujukan:
Buku “Anakku Hebat, Anakku Soleh”

Zahazan Mohamed 

2 comments:

  1. Didik lah anak-anak kita menjadi muslimin dan muslimah yang beriman dan bertaqwa kepada Allah...apabila kita sudah tiada anak-anak inilah kelak yang akan mendoakan kita.
    jemput tengok resei icip-icip saya..
    http://bit.ly/1sOjt1O

    ReplyDelete
  2. Terima kasih di atas perkongsian ini..

    Jemput ke blog saya:
    http://iras-secret-of-healthy-life.blogspot.com

    ReplyDelete