Batu karang adalah satu penyakit yang kerap berlaku di kalangan masyarakat kita. Kebiasaannya, batu karang tidak menunjukkan apa-apa simptom awal penyakit.
Tetapi, ia menyerang dengan mengejut iaitu sakit teramat sangat di bahagian belakang badan dan sekeliling buah pinggang. Malah, ada yang menyatakan bahawa kesakitan diserang batu karang sama seperti sakitnya kontraksi ketika wanita mahu bersalin.
Bagaimanakah penyakit batu karang ini boleh terjadi? Apakah punca kepada terjadinya masalah batu karang? Siapakah yang berisiko untuk menghidap penyakit batu karang ini?
Mungkin anda merupakan salah seorang yang sedang menghadapi masalah batu karang. Mungkin anda juga tertanya-tanya apakah punca batu karang ini boleh terjadi kepada anda?
Batu karang membawa maksud batu yang terbentuk di dalam saluran pembuangan air kencing. Iaitu daripada buah pinggang sehingga ke bahagian pundi kencing.
Menurut istilah perubatan, batu karang mempunyai istilah yang berbeza berdasarkan kedudukan batu karang tersebut.
Siapakah yang berisiko untuk menghidap batu karang?
Antara mereka yang berisiko untuk menghidap batu karang adalah :
- Individu yang mengambil makanan yang tinggi bahan kimia antaranya daripada pengambilan makanan laut. Orang yang tinggal berhampiran pesisiran pantai lebih berisiko untuk menghidap penyakit batu karang ini.
- Kegagalan buah pinggang untuk berfungsi dengan baik. Maka ia mempercepatkan lagi proses pemendapan.
- Metabolisme tubuh yang rendah
Apakah tanda-tanda penyakit batu karang?
Antara tanda-tanda terjadinya penyakit batu karang adalah seperti berikut :
- Sakit melilit yang amat sangat, berdenyut-denyut di sekeliling abdomen dan buah pinggang kiri dan kanan seolah-olah seperti hendak bersalin
- Loya, muntah dan berpeluh-peluh
- Serangan secara mengejut
- Kencing berdarah
- Tidak boleh kencing (bergantung kepada di mana kedudukan batu karang tersebut)
Pada peringkat yang lebih serius, jangkitan kuman boleh berlaku sehingga mengakibatkan demam, tubuh menggigil dan sakit teramat sangat apabila disentuh di bahagian tersebut.
Jangkitan kuman ini boleh menyebabkan terjadinya nanah. Lalu, pembuangan air kencing juga mungkin akan disertai dengan nanah.
Yang lebih memburukkan apabila penyakit batu karang ini berada pada tahap kronik, ia boleh menjadi punca kerosakan buah pinggang dan tubuh menjadi sangat lemah.
Adakah penyakit batu karang ini boleh berulang?
Ya, penyakit batu karang mempunyai risiko tinggi untuk terjadi lagi apabila anda tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat dan tidak menjaga pemakanan yang betul.
No comments:
Post a Comment