Pages

Saturday, September 13, 2014

10 Tips Didik Anak Menabung

10 tips didik anak menabung dengan bijak
Tips Didik Anak Menabung
"Duit"..Siapa yang tidak kenal duit..Kanak-kanak kecil pun sudah mulai kenal apa itu duit. Mereka juga mengetahui duit boleh penuhi permintaan mereka. Namun, adakah mereka memahami nilai untuk setiap duit? Adakah mereka memahami nilai duit yang perlu mereka bayar untuk barang yang mereka inginkan? 

Saya yakin dan percaya ramai ibubapa yang memandang usia kanak-kanak terlalu awal untuk mendidik mereka tentang wang. Sebenarnya, anda silap!
Pernah dengar pepatah Melayu ini "Melentur buluh biarlah dari rebungnya". Begitu jugalah dalam mendidik anak-anak mengenai kehidupan termasuk perkara yang berkaitan dengan wang.

Apabila kita mulai mendidik anak-anak tentang wang, ianya bukan bererti bahawa kita mendidik mereka tentang materialistik, bukannya mendidik mereka untuk menjadi hamba kepada wang, bukannya mendidik mereka hidup untuk wang. Tetapi, apa yang ingin kita didik adalah mengenai bagaimana diri anak-anak boleh menguruskan wang dengan baik, bagaimana mendidik anak tentang nilai wang bukan semata untuk tujuan materialistik keduniaan sahaja, malah hakikatnya lebih dari itu. 

Sebagai contoh, didik anak menghulurkan wang untuk dimasukkan di tabung-tabung masjid, hulurkan wang untuk pengemis yang memerlukan, hulurkan wang untuk rakan-rakan yang memerlukan. Itu juga merupakan pendidikan yang sangat baik untuk anak-anak bukan?  

Menabung merupakan amalan dan sikap yang harus dipupuk sejak kecil lagi.. Kesedaran ini haruslah dimulai sedari kecil, bukan ketika anak telah meningkat dewasa.
Berbalik kepada perbincangan kita di awal tadi, bagaimana mendidik anak untuk menabung..

Antara tips yang ibubapa boleh amalkan:

1) Belikan anak-anak tabung yang menarik. Tapi pastikan jangan keterlaluan harganya. Cukuplah sekadar seadanya untuk menarik minat si kecil anda.

2) Atau buatkan anak-anak tabung mereka sendiri. Sebagai contoh, anda boleh gunakan botol mineral, hiaskan nama anak-anak anda pada botol mineral tersebut. Oleh yang demikian, anak-anak akan lebih cepat bersemangat bila wujudnya persaingan.

3) Letakkan tabung di ruangan yang mudah dilihat. So, anda dan anak anda dapat melihat pencapaian anak-anak anda. Sekaligus anak-anak akan bersaing secara sihat antara mereka.

4) Setiap kali memberikan wang belanja untuk anak anda, lebihkan sedikit untuk anak anda masukkan wang lebih tersebut ke dalam tabung. Sebagai contoh, katakan pada anak "Ini ibu ada beri duit RM1.50. RM1 untuk belanja di sekolah, 50 sen lagi pegi masukkan dalam tabung yer.." 

5) Apabila anak anda merengek inginkan permainan, jelaskan pada mereka bahawa mereka perlu cukupkan terlebih dahulu tabungan mereka. Bertegas dengan mereka, bukan mengalah!

6) Bincang dan buat kira-kira bersama anak berapa wang yang mereka perlu buat tabungan setiap kali mereka inginkan sesuatu. 

7) Buka buku akaun mereka sendiri. Bawa mereka ke bank setiap kali tabungan mereka penuh. Amalan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat anak-anak untuk terus menabung.

8) Sesekali anda juga boleh reward anak anda setiap kali mereka berjaya mencapai tabungan yang anda tetapkan. Sebagai contoh, anda menetapkan tabungan yang telah mencapai RM50, akan memberikan mereka reward tambahan duit RM10 untuk mereka. RM5 untuk berbelanja, RM5 untuk simpanan. 

9) Ibubapa juga perlu menabung!!! Ingat..Bukan anak sahaja perlu menabung. Tetapi, anda perlu menunjukkan contoh terlebih dahulu kepada anak-anak anda. Letakkan tabungan anda di tempat-tempat yang mudah mereka lihat, sekaligus mencontohi sikap anda! Pulang dari mana-mana, amalkan menabung terlebih dahulu setibanya dari rumah. 

10) Biasakan anak-anak anda hulurkan wang untuk tabungan masjid, sedekah dan sebagainya. Jelaskan mengapa mereka perlu lebihkan bersedekah. Kerana dengan bersedekah, hakikatnya ia mampu meningkatkan kewangan pemberi sedekah. So, boleh berikan mereka semangat dengan bersedekah, insyaAllah Allah akan tambahkan lagi wang tabungan mereka. 

Bagi anak-anak yang masih terlalu kecil, bagi saya tiada masalah untuk anda mulakan dari sekarang juga. Ceritakan kepada anak-anak, tunjukkan mereka anda memasukkan wang ke dalam tabung atau mungkin boleh berikan bayi anda wang untuk dimasukkan ke dalam tabung. 

Jangan rasa anak anda tidak faham apa yang sedang anda lakukan tau! Anak-anak sekarang sangat memahami dan melihat apa yang ibubapa mereka sedang lakukan. So, tidak mustahil untuk anda mulakan seawal mungkin usia mereka. Bukan hanya menyenangkan mereka, malah anda juga turut senang dengan jaminan masa depan mereka hasil tabungan yang telah anda lakukan seawal mungkin ini. 

So, akhir kalam..Ajarlah anak-anak anda menabung dari sekarang. Anak dah besar? Rasa dah terlewat? Oh tidak..Mulakan sekarang! Anda tidak pernah terlambat untuk urusan kebaikan. Biar lambat daripada tak buat langsung bukan? 

Renung-renungkan.. 
Selamat beramal..


Salam Sayang,
Ummu Hanan


Never Lose Hope...

1 comment:

  1. Jadikan menabung sebagai hobi yang berfaedah. Disebalik menabung kita secara tidak langsung mengajar anak-anak berjimat cermat

    ReplyDelete