Pages

Wednesday, September 17, 2014

Kesan Keajaiban Al-Qur'an kepada Kesihatan Manusia

Pic kredit to: http://goo.gl/zNM0UP
Alhamdulillah, pagi yang hening selepas sehari bercuti.. Pagi ni dah baca al-Qur'an? Rasai perbezaan hari anda apabila anda mulai hari anda dengan selembar bacaan al-Qur'an.

Al-Qur'an merupakan kitab suci yang diturunkan oleh Allah swt kepada umat Islam sehingga hari kiamat melalui perantaraan Nabi Muhammad saw sejak 1400 tahun yang lalu. 

Biarpun Nabi Muhammad saw telah lama meninggalkan kita, namun kitab suci Al-Qur'an masih lagi terpelihara sebagaimana janji Allah swt. Bahkan, sesiapa yang berpegang dengan Al-Qur'an nescaya mereka tidak akan tergolong dalam kesesatan sebagaimana hadith Nabi saw seperti berikut:

"Tidaklah kamu tersesat selama mahu berpegang teguh kepada Qur'an dan Sunnahku.." -Hadith riwayat Bukhari
Kitab Al-Qur'an bukanlah buku kesihatan. Namun, ianya boleh dijadikan sebagai panduan kepada manusia ke arah hidup yang lebih sihat. Sebab itu jugalah al-Qur'an disebut sebagai as-Syifa' (Penyembuh) sebagaimana firman Allah swt:

"Wahai umat manusia! Sudah datang kepadamu pengajaran dari TuhanMu dan penawar bagi penyakit yang ada di dalam dadamu dan petunjuk, serta rahmat bagi orang yang beriman" -Surah Yunus: ayat 57

Kesihatan melalui bacaan al-Qur'an boleh terjadi dengan pelbagai cara antaranya:

1) Kesan psikologi yang boleh menenangkan jiwa.

Walaupun kita membaca dalam keadaan tidak memahami maksud ayat al-Qur'an, namun terdapat kajian yang membuktikan bahawa bacaan al-Qur'an didapati berupaya menurunkan tekanan darah, menstabilkan denyutan nadi dan memberikan relaksi kepada otot

Cuba anda praktikkan membaca al-Qur'an dengan mengeluarkan suara secara tartil, anda akan dapati bahawa serapan ketenangan mengalir ke dalam jiwa anda. Kadangkala rasa bergetar bukan? 

Pada hakikatnya, transmisi dan getaran suara daripada huruf-huruf al-Qur'an mensimulasikan perasaan kekuatan, ketenangan, konsentrasi, keagungan kepada Pencipta dan pencerahan jiwa bagi orang yang membaca mahupun orang yang mendengarkannya. 

2) Teori stimulus mekanoreseptor (gerakan mengunyah dan menelan) pada kawasan magic spot

Terdapat satu teori menarik mengenai kaitan gerakan lidah dan gelombang suara ketika kita bacaan al-Qur'an ini dengan kesihatan tubuh manusia. Menurut Dr. Muhammad Asim Mahmod Khan yang berpendapat bahawa gerakan hujung lidah yang menyentuh kawasan magic spot (di lelangit atas, belakang gusi dan gigi) terutamanya apabila kita menyebut kalimah Allah atau La haulawala Quwwata illa billahil 'aliyyil azim.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Norma F. Capra daripada Jabatan Sains dan Biologi Oral & Craniofacial, Universiti Maryland, Amerika Syarikat, Dr. Mahmod turut menghuraikan bahawa pada dinding langit-langit mulut terdapat banyak saraf sensorik berupa mekanoreseptor saraf yang berfungsi dalam gerakan untuk mengunyah dan menelan makanan.    

Kebiasaannya, sentuhan pada lelangit ini tidak sebanyak ketika ucapan harian kita. Namun, apabila kita membaca al-Qur'an, tanpa kita sedari ianya sangat membantu dalam gerakan lidah ke lelangit ini sekaligus memberikan kebaikan kepada kesihatan. 

3) Keajaiban al-Qur'an yang menceritakan tentang kesihatan  dan cara hidup sihat seperti pemakanan buah kurma, zaitun, buah tin, air zam zam, pelaksanaan solat, berwudu', soal tumbuh-tumbuhan, larangan berzina, larangan meminum arak dan sebagainya. Semua ini merupakan panduan ke arah kehidupan yang lebih sihat. 

4) Kesan gema hasil bacaan al-Qur'an. 

Dunia perubatan kini semakian banyak yang menggunakan kaedah gema atau bunyi untuk melakukan rawatan tertentu. Antara aplikasi yang telah digunakan ialah kaedah gema bagi memecahkan batu ginjal. Bahkan, terdapat juga doktor perubatan kini yang menggunakan instrumen lagu-lagu lembut yang boleh membantu memberi respon kepada jiwa pesakit. 

Dalam konteks bacaan al-Qur'an, gema yang dihasilkan sebagai contoh daripada ayat alif lam mim mampu memberi kesan kepada jantung atau Yaasin yang memberi kesan kepada kelenjar hipofise di bawah otak. 

5) Kesan 'mistik' al-Qur'an

Sesungguhnya tubuh manusia ini adalah di bawah aturan dan ciptaan Alalh swt. Sekalipun bidang sains dan perubatan menemui beberapa aspek penting tentang tubuh manusia, namun disebalik tersebut banyak lagi yang masih belum tersingkap dan di luar jangkaun para pengkaji manusia sekalipun kita mengabdikan seluruh kehidupan kita untuk mengkaji. Sebagai contoh, manusia punya jiwa, perasaan kehambaan yang boleh dikaitkan dengan sistem tubuh, namun masih banyak lagi rahsia kesihatan yang masih belum mampu manusia terokai. 


Subhanallah..

Sungguh besar keajaiban al-Qur'an yang melibatkan kesihatan manusia. Seharusnya kita bersyukur kerana Allah menjadikan kita sebagai umat Islam, umat kepada Nabi Muhammad saw yang dikurniakan al-Qur'an yang mengandungi 1001 mukjizat yang tidak dapat disingkap dengan sekadar teori dan praktikal. 


Salam Sayang, 
Ummu Hanan


Never Lose Hope...


Sumber: 
Buku "Mengapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit"
Penulis Dr. Adi Hashman
Halaman 149-153

1 comment: