Pages

Tuesday, September 16, 2014

Mahu Kurus? Panduan Penurunan Berat Badan bagi Ibu Menyusu

Tips dan panduan turunkan berat ketika menyusu
Saya yakin dan percaya, masalah peningkatan berat badan di kalangan ibu menyusu menjadi satu perkara yang sangat dibimbangi. Saya juga mengalami dilema sebegitu satu ketika dahulu.

Oleh yang demikian, kebiasaannya para ibu mulai sibuk untuk mencuba pelbagai usaha demi menurunkan berat badan mereka. Bagi mereka yang memilih untuk tidak menyusukan bayi sepenuhnya, mungkin ia tidak menjadi satu masalah. Tetapi, bagaimana pula dengan ibu-ibu yang memilih untuk menyusu badan secara eksklusif selama 2 tahun, sekali gus ingin menurunkan berat badan? Adakah cara untuk mengatasi masalah ini? Atau mungkinkah ia mampu menjejaskan penyusuan anda?

Hari ini saya ingin kongsikan bersama rakan-rakan semua beberapa panduan yang dikongsikan melalui buku “Hebatnya Susu Ibu” tentang penurunan berat badan ketika menyusu badan.

Tahukah anda, sebenarnya penyusuan badan sepenuhnya sangat membantu para ibu dalam menurunkan berat badan seandainya dilakukan dengan betul. Atau mungkin sekalipun tidak dapat menurunkan berat badan secara mendadak, apa yang ibu boleh amati, berat anda akan berada pada tahap yang ‘maintain’ sepanjang penyusuan. Berat tidak akan naik dalam keadaan mendadak selagi anda menyusu badan.

Pada hakikatnya, ibu yang menyusukan bayi memerlukan lebih tenaga untuk menyusukan bayi iaitu sebanyak 200-500 kalori sehari berbanding wanita normal. Tahukah anda, lemak yang berlebihan ketika hamil akan digunakan sebagai tenaga untuk penghasilan susu ibu. Maka, tidak hairanlah penyusuan sebenarnya membantu ibu-ibu menyingkirkan lemak yang berlebihan!

Jika anda ingin menurunkan berat badan tanpa menjejaskan penyusuan susu ibu, berikut merupakan beberapa Panduan yang mungkin boleh membantu anda:

1) Tangguh diet sehingga bayi berusia dua bulan

Kebiasaannya, tempoh penghasilan susu yang stabil adalah pada 2 bulan pertama kelahiran. Oleh yang demikian, berikan masa untuk tubuh anda menghasilkan susu dengan baik dan tanpa gangguan yang mungkin terjejas disebabkan diet. Anda harus ingat.. apabila menyusukan bayi, anda bakal kehilangan 200-500 kalori tanpa sebarang kalori! (Ini sudah membantu)

2) Susukan bayi secara kerap dan tanpa had

Berikan sebanyak mungkin penyusuan mengikut kehendak dan keperluan bayi tanpa had masa. Terdapat kajian yang telah membuktikan bahawa penyusuan secara kerap dan konsisten sekurang-kurangnya 6 bulan, dapat membantu penurunan berat badan ibu.

3) Pantau kalori sehari antara 1500-1800

Seorang ibu menyusu memerlukan sekurang-kurangnya antara 1500-1800 kalori setiap hari. Namun, ada sesetengah ibu mungkin memerlukan lebih dari ini. Harus diingat, seandainya anda mengambil jumlah kalori yang lebih rendah daripada 1500 kalori sehari, mungkin penghasilan susu anda bakal terjejas. Jadi, seandainya anda berdiet dengan mengurangkan jumlah kalori, anda bakal berhadapan dengan situasi penurunan bekalan susu badan.

4) Berat hilang tidak lebih 0.7 kg seminggu

Kehilangan berat badan anda sebanyak 0.7 kg seminggu atau 2.7 kg sebulan selepas bayi berumur 2 bulan tidak akan menjejaskan penghasilan susu ibu atau memudaratkan bayi anda.

5) Kurangkan kalori secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit

Apabila kehilangan kalori dilakukan secara mendadak akibat diet ibu, ini akan menjadi punca kepada penurunan penghasilan susu ibu. Apabila ibu ditimpa sakit dan kurang minum air kosong, selain pengambilan sebarang ubat tertentu antara faktor yang menyebabkan penghasilan susu ibu terjejas.

6) Elakkan mengambil jalan mudah

Jangan mengambil sebarang ubat untuk mengurangkan berat badan ketika masih menyusukan bayi. Seandainya anda ingin mengambil sebarang supplement, pastikan ia tidak mengandungi bahan yang mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan anda dan penghasilan susu ibu. Pastikan ia benar-benar selamat untuk diambil.     


Cuba ikuti tips berikut:

1) Ubah Diet

Kurangkan pengambilan lemak kepada lebih kurang 20-25% daripada jumlah kalori. Pastikan pengambilan protein lebih dari biasa. Pengambilan protein untuk ibu yang menyusukan bayi adalah sebanyka 65 gm/sehari untuk 6 bulan pertama dan 62 gm/sehari untuk 6-12 bulan seterusnya.

2) Pengambilan kalori teratur

Jika biasanya anda makan 2-3 kali sehari, cuba makan dengan kuantiti yang sedikit tetapi kerap sebanyak 3 kali sehari dan diselang-selikan dengan pengambilan snek yang berkhasiat. Pengambilan makanan yang berterusan sepanjang hari dapat memastikan pengambilan kalori secara teratur tanpa menjejaskan penghasilan susu ibu.

3) Senaman ringan

Lakukan senaman ringan di rumah sendiri. Ia boleh membantu anda untuk membakar lemak yang berlebihan di samping memastikan otot anda sentiasa kekal kuat. Anda boleh mencari jenis senaman yang sesuai untuk anda lakukan biarpun anda punya anak kecil.

4) Pemakanan sihat

Banyakkan pengambilan sayuran hijau dan buah-buahan. Selain itu, banyakan pengambilan makanan bersumberkan protein seperti tauhu, tempe, kekacang, bijirin dan soya. Perlu diingat, pengambilan snek bukan bermaksud anda mengambil makanan ringan yang tinggi gula dan garam. Tetapi lebih kepada pemakanan yang sihat seperti snek sayuran atau snek buah-buahan dan sebagainya. Pelbagaikan pemakanan sihat anda..


So, ibu-ibu menyusu jangan risau berat anda meningkat secara mendadak. Amalkan panduan dan tips ini, insya-Allah ia membantu anda mendapatkan berat badan ideal anda semula di samping dapat memberikan anak anda susu ibu sepenuhnya tanpa halangan.


Selamat mencuba!

Salam sayang,
Ummu Hanan


Never Lose Hope...



Sumber:
Buku “Hebatnya Susu Ibu!”
Penulis: Rita Rahayu Omar

Halaman: 162-164

No comments:

Post a Comment