Saturday, April 25, 2015

Semangat Peniaga Cilik Kaki Lima Ini Membuat Ku Kagum Padanya!

Setiap kali saya bertemu dengan adik-adik ini di kaki lima bank, kaki lima pejabat pos di sekitar Bandar Klang, hati ini cukup tersentuh!

Jarang sekali kita dapat melihat adik-adik kecil yang masih bersekolah rendah mungkin, membawa berbakul-bakul kuih-muih sebagai barang jualan. 

Terbayang-bayang andai mereka itu adalah adik-adikku sendiri. Allah...

Namun, saya cukup gembira setiap kali terserempak dengan mereka ini. Saya kagum dengan semangat mereka berjualan di kaki lima membantu ibubapa menjual kuih-muih. 

Sedap, memang sedap! Paling saya suka adalah pau pedas mereka yang hanya berharga 50 sen tapi bersaiz sebesar penumbuk. 

"Kak, beli kuih kak.." Sapaan biasa yang saya terima. 

Kadang-kala apabila hari semakin lewat petang sedangkan barang jualan masih lagi penuh di dalam bakul, sempat mereka 'memujuk', "Beli la lebih kak.. Banyak lagi kuih kami ni kak.. Kesian la kami kak.. Boleh kami balik cepat.."

Alahai, meruntun jiwaku sungguh! 

Kadangkala, sengaja saya beli lebih sedikit supaya jualan mereka lekas-lekas habis sedangkan saya tahu ia melebihi dari keperluan saya sepatutnya. 

Namun, apalah salahnya sesekali kita menggembirakan orang lain walaupun kadangkala hakikatnya kita tidak terlalu memerlukan barang jualan mereka. Ada bahagian rezeki untuk mereka yang harus kita kongsi. 

Saya memahami perasaan seronok mereka apabila jualan mereka habis dibeli orang. 

Pernah saya ajukan pertanyaan, "Adik-adik ni datang dari mana sebenarnya?" 

"Kami datang dari Kampung Jawa kak.. Atas lagi dari Kampung Jawa.." Jawab salah seorang dari mereka.

"Mak aih..Jauhnya? Datang naik apa ke Bandar Klang ni?"

"Kami naik bas kak.."

Benar! Pernah sekali saya terserempak dengan mereka sedang menuruni bas mini dengan membawa trolley yang penuh berisi berbekas-bekas kuih -muih. 

Pernah juga saya terserempak dengan mereka di jalanraya menaiki motor seramai 4 orang bersama abang mereka membawa bekas-bekas jualan. 

Ya Allah! Memang meruntun hati siapa sahaja yang melihatnya.. Setiap kali terpandangkan wajah mereka, hati saya benar-benar sayu.. 

Mereka masih kecil tetapi mempunyai semangat yang tinggi, tidak pernah merasa malu untuk duduk di kaki lima menghabiskan jualan yang dibawa, tidak segan silu menyapa siapa sahaja untuk singgah membeli. Semuanya mereka lakukan sendirian! 

Faham bagaimana kesusahan yang mereka alami kerana saya juga bukan berasal dari keluarga senang. Mak juga satu ketika dulu pernah berjualan kuih, kain ela dan macam-macam lagi untuk menampung kehidupan. 

Hakikatnya, adik-adik ini memberikan kami semangat yang membuatkan kami kagum.

Mereka mengajar tentang erti berdikari. Mereka mengajar tentang kesabaran. Mereka mengajar tentang pengorbanan. Mereka mengajar tentang erti kesungguhan. Mereka mengajar tentang nilai kehidupan!

Adik-adik ini juga memberikan kami satu kisah kehidupan untuk kami ambil iktibar, untuk kami tingkatkan kehidupan masa depan. Mengajar kami juga erti tidak putus asa dengan kehidupan! 

Terima kasih dik berikan akak semangat itu!




4 comments:

  1. Sungguh berhati waja adik - adik ini. Moga Allah murahkan rezeki mereka. Amin!

    ReplyDelete
  2. kalau yang jual makanan ni kira ok lagi, kita pun rasa nak beli, jauh beza dengan yang meminta-minta kat tepi jalan tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul.. Kite pun takde la rasa syak wasangka apa bagai semua kan..^_^

      Delete