Tuesday, October 11, 2016

Wanita Hamil: Sampai Bilakah Wajib Solat?

Solat adalah tiang agama dan wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam walau dengan apa cara dan keadaan sekalipun. 

Biarpun ketika sakit mahupun hamil, kewajipan solat perlu dilaksanakan dengan cara dan kemampuan masing-masing. 


Allah memberikan rukhsah (keringanan atau kemudahan) kepada orang sakit dan hamil untuk melakukan solat secara duduk, mengiring atau berbaring melihat kepada kesukaran masing-masing yang sedang dialami. 

Wanita Hamil: Sampai Bilakah Kewajipan Solat Anda? 


Beberapa hari lalu, saya terbaca satu perkongsian daripada seorang insan di bahagian forum kehamilan tentang kewajipan solat ke atas ibu hamil : Sampai bilakah wanita hamil wajib solat? 

Saya tertarik untuk kongsikan bersama anda tentang isu ini kerana saya juga antara ibu hamil yang sering keliru dengan keadaan bagaimanakah kita dibolehkan untuk tidak bersolat dan keadaan bagaimanakah boleh digantikan. 

Persoalan tentang perkara ini telah diajukan kepada orang yang lebih 'arif dalam bidang fiqh wanita iaitu Prof. Madya Dr. Anisah binti Abdul Ghani (Pensyarah di jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya Kuala Lumpur). 

Di antara persoalan yang telah dijawab oleh beliau adalah, apakah status solat ke atas wanita hamil yang mengalami situasi seperti berikut :
  1. Keguguran
  2. Turun darah (bleeding)
  3. Pecah air ketuban
  4. Kontraksi rahim

Jawapan ringkas yang dapat disimpulkan ialah : 

Keguguran:


Bagi wanita yang mengalami situasi ini, kewajipan solat ke atasnya luput dan tidak wajib digantikan solat tersebut. Ini kerana, darah yang keluar ketika gugur tersebut disamakan dengan darah wiladah (melahirkan anak). 

Turun Darah dan Pecah Air Ketuban : 


Situasi ini merupakan antara tanda-tanda seseorang wanita itu sudah hampir bersalin. Walau bagaimanapun, kewajipan solat ke atas wanita yang mengalami situasi ini TIDAK LUPUT, bermakna solat wajib ditunaikan mengikut kemampuan. 

Apa yang perlu dititik beratkan ialah, kebersihan sebelum menunaikan solat, di mana darah sebagai contoh, perlu dibersihkan terlebih dahulu. Darah yang keluar ini dianggap darah fasad, bukannya darah yang keluar ketika bersalin. Begitu juga dengan air ketuban.

Kontraksi Bersalin :  


Begitu juga bagi ibu hamil yang sedang mengalami kontraksi bersalin, solat masih lagi TIDAK LUPUT kepadanya iaitu masih wajib menunaikan solat sebagaimana masalah turun darah dan keluar air ketuban.

Walau bagaimanapun, bagi kes wanita yang mengalami kontraksi rahim yang bersangatan, sehingga tidak mampu untuk menunaikan solat ketika waktunya, bolehlah digantikan solat yang terluput itu pada waktu lain, kerana ketidakmampuan ketika itu.

Solat itu Tiang Agama 


Semoga sedikit perkongsian ini memberikan anda jawapan kepada persoalan yang sekian lama bermain dalam minda anda. 

Ia memberi petunjuk bahawa kewajipan solat ini tetap wajib dilakukan walau dengan apa jua keadaan sekalipun biarpun menghampiri saat kematian. 

Namun, Allah tetap memberikan rukhsah dan keringanan dengan melakukan solat secara duduk, mengiring atau berbaring mengikut kepada kadar kemampuan masing-masing.

Begitu juga dengan wanita hamil. Islam memberikan Ibu hamil kelonggaran untuk solat secara duduk. Bagaimanakah cara solat duduk yang betul bagi ibu hamil? Klik link sebagai rujukan anda. 

So kesimpulannya, sampai bilakah kewajipan solat terhadap wanita hamil itu perlu dilaksanakan?

Jawapannya, wanita hamil wajib menunaikan solat dalam apa jua cara sekalipun sehinggalah waktu kelahiran bayi iaitu bersamaan dengan keluar darah nifas yang mengharamkan wanita untuk menunaikan solat.

Saya yakin ketika mana saat keluar darah (bleeding), keluar air ketuban dan kontraksi rahim, wanita hamil kebiasaannya sangat tidak berdaya dan lemah seluruh anggota. 

Namun, laksanakanlah solat semampu yang mungkin. Andainya tidak mampu untuk solat secara berdiri, solatlah sambil duduk. Seandainya tidak mampu untuk duduk, solatlah sambil baring mengiring. Jika tidak mampu secara baring mengiring, solatlah secara baring menelentang dengan cara dan tertib yang telah diajarkan oleh Islam.   

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan jawapan kepada anda semua.  


Rujukan :
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=11514.0

2 comments: