Tuesday, July 3, 2018

Resepi Enak Aneka Rendang

cara masak rendang
Dulu, kami sekeluarga memang tak pernah makan rendang ketika Syawal.

Almaklum la orang Jawa biasanya juadah hari raya hanya ketupat, kuah kacang, ayam masak merah atau masak kicap dan sayur tumis. 

Nak makan rendang? Kami biasanya hanya makan juadah rendang ini ketika berkunjung di rumah mak cik sahaja. 

Punya la teruk kan? Sampai tunggu raya rumah mak cik semata sebab nak makan rendang beliau.

Tapi, sekarang tidak lagi bila belajar resepi enak aneka rendang ini. Nak tahu apa resepi yang saya gunakan?

Lebih kurang 5-6 tahun yang lalu, abang dan adik-adik saya minta untuk sediakan menu rendang di rumah ketika syawal apabila salah-seorang adik saya sudah pandai membakar lemang.

Mahu tidak mahu, terpaksa la saya belajar macam mana nak sediakan menu rendang ni.

Tempat pertama yang saya tuju, Google!

Saya google la resepi macam mana nak masak rendang daging yang mudah, ringkas tapi enak!

Google punya google, maka terjumpalah 1 resepi ni. Tapi serius saya sudah tak ingat siapa pemilik resepi asal ini.

Alhamdulillah bila try je resepi ni, saya mendapat feedback yang baik daripada sedara-mara, family dan kini juga daripada pelanggan. 

Alhamdulillah, sudah lebih daripada 5 tahun adik saya menjalankan bisnes lemang ketika syawal. So, saya sekadar membantu beliau menambah dengan menu rendang pula seperti rendang daging, rendang ayam, rendang kerang dan rendang burung puyuh. 

Jom kita tengok apa resepi yang saya gunakan itu. 

Berikut merupakan bahan-bahan untuk masak 1 ekor ayam. Anda boleh sesuaikan mengikut banyak mana anda masak.


Bahan-bahan :

  • Bawang merah besar 3 biji (Kalau guna bawang kecil, perlu lebihkan dalam 10 biji)
  • Bawang putih 10 ulas
  • Cili kering sedikit. Nak pedas boleh lebihkan
  • Halia segenggam
  • Lengkuas segenggam
  • Serai 4 batang
  • Rempah kurma (Biasa orang menggunakan rempah kari, tapi saya menggunakan rempah Kurma Adabi)
  • Daun limau purut 5 keping
  • Daun kunyit 2 helai
  • Minyak masak sedikit
  • Asam jawa sedikit
  • Gula melaka batu 1/2 biji (Kalau tak mahu, boleh gantikan dengan gula pasir)
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa untuk topup gula melaka
  • Kerisik kelapa 1 biji
  • Santan pekat dan cair 1 kilo
  • Daging lembu/ayam/kerang

Cara atau langkah penyediaan :


Langkah 1 :

  1. Gunting dan rebus cili kering. Kemudian kisar sehingga halus.
  2. Kisar bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan serai.
  3. Tuskan kisaran bawang, halia dan serai tadi supaya ketika masak nanti tidak terlalu berair yang boleh melambatkan proses memasak. 


Langkah 2 :

  1. Panaskan terlebih dahulu minyak dalam kuali.
  2. Tumiskan semua bahan dalam langkah 1 tadi sehingga pecah minyak dan naik bau. (Pastikan betul-betul masak untuk elak cirit-birit)
  3. Setelah tumisan bahan tadi sudah naik minyak, sudah naik bau, masukkan serbuk kurma.
  4. Gaul rata serbuk kurma dengan bahan tumisan tadi. 


Langkah 3 : 

  1. Masukkan daging. Saya rebus terlebih dahulu daging dalam 30 minit untuk lebih lembut. Kalau jumlah daging banyak, rebus lebih lama. Tetapi, seandainya anda menggunakan pressure cooker, lagi jimat masa anda.
  2. Kacau daging tadi, kemudian masukkan santan. Saya suka lebihkan santan sampai daging tenggelam. 

Langkah 4 :

  1. Kacau seperti biasa, dan biarkan santan tadi sampai pecah minyak.
  2. Masukkan gula melaka, sedikit air asam jawa, garam secukup rasa, daun limau purut, daun kunyit.
  3. Akhir sekali, masukkan kerisik kelapa parut yang telah disangai terlebih dahulu sampai ringan dan telah dikisar halus. Kuantiti kerisik kelapa terpulang pada anda. Nak kuah pekat, boleh lebihkan.

Ini lah rupanya rendang yang saya duk masak setiap hari sepanjang syawal untuk jualan bisnes lemang di gerai adik. 


cara masak rendang
Rendang ayam

cara masak rendang
Rendang daging

cara masak rendang
Rendang kerang

Haa itu sajalah resepi aneka rendang yang saya buat selama ini. Moga mendapat manfaat untuk anda. Selamat mencuba!

3 comments: