Perumpamaan kita hidup di dunia ini adalah seumpama
pengembara yang melakukan perjalanan yang sangat jauh. Berhenti sebentar di
bawah pohon melepaskan lelah. Kemudian meneruskan perjalanan ke tempat yang
dituju. Hidup di dunia hanya sementara seumpama kita melepaskan lelah dalam
suatu perjalanan yang panjang. Di saat kita berehat, janganlah kita tertidur sehingga
lupa mencari bekal perjalanan ke kehidupan yang kekal abadi.
Seorang pesawah membanting tulang empat keratnya di
tengah panas terik mencari bekalan kehidupannya. Seorang ayah menanam pokok
durian, mungkin dia tidak merasa buah duriannya tetapi anaknya atau mungkin
cucu dan cicitnya yang akan merasa. Bercucuk tanam adalah simbol usaha kita
untuk bekalan masa hadapan.
Dunia adalah ladang untuk akhirat. Akhirat adalah
tempat untuk kita menuai hasilnya. Berapa ramai di kalangan insan yang terlupa
untuk bercucuk tanam untuk keperluannya di hari di mana tiada masa baginya lagi
untuk bercucuk tanam. Hari-hari yang cukup panjang, seolah-olah akan berakhir,
namun tidak jua berakhir.
Seorang insan boleh menggambarkan rumah yang
dikehendakinya untuk dia hidup di dunia. Ruang tamu yang luas, kabinet dapur
yang cantik, perabot-perabot yang mahal, bilik tidur yang selesa , bilik air
yang bersih, rumah bertingkat-tingkat, punyai bilik yang banyak dan pelbagai
lagi yang boleh diangankan.
Namun tidakkah kita sedar bahawa apa yang kita mahukan
di dunia berupa kemewahan dunia memerlukan usaha yang bukan sedikit diperlukan.
Tidak salah untuk mengejar dunia, tapi jangan lupa akhirat. Tetapi alangkah
baiknya jika kita usahakan lebih banyak untuk kehidupan akhirat nanti.
Bukankah Allah sudah menjanjikan syurga bagi mereka
yang beriman dan beramal soleh. Bukankah mudah untuk manusia, membina ladangnya
sendiri, rumahnya sendiri, kenderaannya sendiri dengan hanya menanam benihnya
di dunia dan menuainya di syurga.
Berapa ramai manusia yang takut kehilangan harta benda
di dunia tetapi tidak takut kehilangannya di akhirat.
Berapa ramai manusia yang lebih sayangkan harta
warisnya daripada hartanya sendiri. Apabila manusia mati, segala peninggalannya
berupa rumah, kereta, perniagaannya, ladangnya dan bermacam-macam harta dunia
yang asalnya miliknya akan menjadi milik warisnya.
Harta yang disayang, yang dianggap hartanya, apabila
dia mati, bukan lagi menjadi miliknya. Benarlah bahawa manusia ini lebih sayang
harta warisnya daripada hartanya sendiri.
Yang dibawa, hanyalah amalan. Itulah harta si mati.
Harta yang sering dipinggirkan. Harta yang akan menjadi harapan di saat
berdepan dengan dahsyatnya hari akhirat.
Marilah kita sama-sama menyuburkan ladang akhirat kita
supaya nantinya tidak gersang, tanpa ada tanaman.
Marilah kita bersama-sama membina rumah kita di syurga,
yang akan kekal untuk selama-lamanya.
Ber‘tani’lah, untuk kehidupan yang lebih terjamin…
عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى
الله عليه وسلم: (لَقِيتُ إِبْرَاهِيمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي، فَقَالَ: يَا
مُحَمَّدُ: أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلاَمَ، وَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ
الْجَنَّةَ طَيِّبَةُ التُّرْبَةِ، عَذْبَةُ الْمَاءِ، (وفي رواية: وَأَرْضَهَا
وَاسِعَةٌ) وَأَنَّهَا قِيعَانٌ، (وفي رواية: فَلْيُكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِ
الْجَنَّةِ) وَأَنَّ غِرَاسَهَا: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ
إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ (وفي رواية: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ
إِلَّا بِاللهِ). «هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الوَجْهِ مِنْ حَدِيثِ
ابْنِ مَسْعُودٍ»
Dari Abdullah ibnu
Mas'ud berkata: Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam bersabda: "Ketika malam
aku diisra’kan, aku bertemu Ibrahim (di langit yang ke tujuh), lalu Ibrahim
berkata kepadaku: Wahai Muhammad, Sampaikanlah salamku kepada umatmu, dan khabarkanlah
kepada mereka: bahawasanya di syurga (sekarang) tanahnya subur, airnya tawar
(dalam riwayat lain: tanahnya luas), hanya saja tanahnya masih gersang (berupa
dataran), maka dari itu perbanyaklah tanaman di sana dengan mengucapkan:"subhanallah","al-hamdulillah","la
ilaha illallah","Allahu akbar", (dalam riwayat lain:
"la haula wala quwwata illa billah") (HR al-Tirmidhi)
Never Lose Hope...
No comments:
Post a Comment