Friday, April 11, 2014

Tazkirah Jumaat: Sekuntum Bunga yang Layu



Seorang insan yang beriman kepada Allah sering memikirkan kebaikan apakah yang akan dilakukan pada setiap hari untuk bekalannya di akhirat. Tapi sering kali juga, apa yang dilakukannya itu sebagai bekalan habis di tengah jalan. Umpama pohon yang ditanam untuk kegunaan masa depan dihancurkan sendiri untuk mendapat kenikmatan dunia yang segera.



Di saat seseorang itu berbuat kebaikan, Allah s.w.t. telah menyediakan ganjarannya di syurga. Namun disebabkan inginkan balasan yang segera di dunia, ingin dipuji, ingin dilihat, diceritakan kepada orang lain kebaikan yang dilakukan, maka pohon pahala yang ditanam tadi menjadi layu dan tidak berguna.


Janganlah jadi insan yang riya, ujub, takabbur, sum’ah.. Yang akhirnya memusnahkan apa yang telah kita bina di syurga..


Janganlah jadi insan yang muflis di akhirat. Membawa amalan yang banyak tetapi semuanya ibarat debu-debu yang ringan. Apabila ditiup angin, habislah semuanya. 

Janganlah kebaikan yang kita lakukan dimusnahkan oleh kejahatan yang kita lakukan…

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟» قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ، فَقَالَ: «إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ، وَصِيَامٍ، وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ»

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”

Para sahabat menjawab: "Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta benda”.

Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah S.W.T akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah S.W.T campakkan dia ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).



Sering kalilah untuk bermuhasabah diri untuk menyediakan amal yang terbaik untuk bekalan di akhirat.

Nabi Muhammad Salla Allah ‘alayh wa Sallam berkata:

عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «الكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ المَوْتِ، وَالعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ» هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ

“Orang yang bijaksana adalah orang yang memuhasabah dirinya dan berbuat amal untuk (sebagai bekalan) selepas mati. Manakala orang yang lemah ialah sesiapa yang menuruti hawa nafsunya, tetapi bergantung harap pula kepada Allah.

Akidah yang sempurna membawa seorang insan itu kepada keluasan rahmat Allah. Mempercayai hari akhirat, menjadikan seorang insan itu melihat dunia dengan keluasan akhirat.

Akidah yang sempurna bukanlah dibuktikan dengan kemahiran menyusun hujah yang kuat agar menang dalam perdebatan, bukan juga dengan kemampuan menjawab “peperiksaan akidah”. Semua ini terkeluar daripada akidah yang wajib dikuasai oleh seorang muslim.  Akan tetapi, akidah yang benar adalah suatu kepercayaan kepada Allah dan sifat-sifatNya lalu dibuktikan dengan perlakuan luhur dan berhati-hati di dalam berkata.

Keyakinan terhadap peristiwa yang akan terjadi pada masa depan, merupakan kandungan penting risalah baginda. Siapa yang percaya dan mula mempersiapkan diri, maka dia akan selamat, dan barang siapa yang mendustakannya  atau menerimanya sambil lewa, maka ia tidak akan mampu menyelamatkan dirinya.

Never Lose Hope...

No comments:

Post a Comment