Sunday, September 7, 2014

10 Sebab Doa Tidak Dimakbulkan Allah SWT

Pernah tak anda terdetik di dalam hati "Kenapa doa aku tak dimakbulkan yer? Rasa banyak dah doa..Macam-macam dah doa.. Semua sudah..Kenapa seolah-olah macam sukar sangat nak termakbul?" 


Terus istighfar banyak-banyak apabila terdetik persoalan sebegini kerana Allah adalah sebaik-baik Pemilik Semesta Alam yang Pemurah dan Maha Memberi. Dia akan beri, tapi bila, di mana, bagaimana semuanya mengikut percaturan yang paling tepat. Saat yang paaaaling baik kita perlukan sesuatu. Tugas kita sebagai hamba hanya perlu terus meminta tanpa putus asa. Minta dan terus meminta dariNya. InsyaAllah satu hari akan termakbul jua.

InsyaAllah sementara menanti azan maghrib berkumandang, petang ini saya ingin berkongsi dengan anda semua apakah antara sebab yang memungkinkan doa kita lambat atau tidak dimakbulkan oleh Allah swt.

Terdapat beberapa kisah dan dalil yang menceritakan tentang halangan-halangan yang menyebabkan doa tidak diterima oleh Allah swt. Salah satu daripadanya adalah mengenai kisah Ibrahim bin Adham.

Ketika Ibrahim bin Adham, seorang ahli sufi berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai. Antara mereka ada yang bertanya,

"Mengapa doa kami tidak dimakbulkan oleh Allah swt, sedangkan kami bermohon padaNya.."

Ibrahim menjawab, "Kerana hati mereka buta disebabkan 10 perkara"

(1) Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan suruhanNya
(2) Kamu menyangka kamu cinta kepada Rasulullah, tetapi kamu meninggalkan sunnahnya.
(3) Kamu membaca al-Qur'an, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
(4) Kamu makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak bersyukur kepadaNya
(5) Kamu berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak berusaha menentangnya.
(6) Kamu berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak berusaha untuknya.
(7) Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
(8) Kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
(9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan semua keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri sendiri.
(10) Kamu kebumikan mayat-mayat kamu (sahabat-sahabatmu), tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada mereka.

Selain daripada 10 perkara di atas yang memungkin doa kita lambat atau tidak dimakbulkan, memutuskan silaturrahim sesama Islam dan sering berbuat dosa juga menjadi salah satu penyebab kepada tertolaknya doa kita sebagai hamba sebagaimana Rasulullah saw bersabda;

"Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalam dirinya dosa atau memutuskan silaturrahim, melainkan Allah memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara, samada doa itu dimakbulkan segera ataupun disimpan dan diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengan doa tadi"
 Diriwayatkan oleh:
Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih

 So kawan-kawan semua..Agak-agak kan adakah salah-satu antara penyebab di atas ini yang memungkinkan doa kita lambat atau tidak dimakbulkan oleh Allah swt? Koreksi diri, muhasabah kesilapan diri, masih belum terlambat untuk kita berubah dan bertaubat kepada Allah swt dan menjadi hamba yang soleh, insyaAllah menjadi hamba yang bahagia dunia dan akhirat..^_^

Salam Sayang,
Ummu Hanan

Never Lose Hope...


-------------------------
Rujukan: 
Buku "Law of Universal Attraction, Magnet Kebahagiaan"
Penulis: Zuhairi Nopiah dan Amin Idris
Halaman: 89-90

Tidak dilupakan..
Terima kasih Master Wan Fatihanum di atas pemberian buku yang sangat bermanfaat ini..

2 comments: