Monday, September 15, 2014

1001 Manfaat Disebalik Kesegaran Buah Mangga

1001 Manfaat disebalik kesegaran buah mangga
Sebut mengenai buah mangga, mesti anda semua sudah terbayang-bayang tentang keenakannya yang manis, masam-masam dan segar bukan? Apatah lagi bila baru sahaja keluarkan dari peti sejuk. Hmmm..terasa kecur mulut mengamati rasa mangga yang sangat enak! Siapa yang tidak pernah merasai kesegaran buah mangga, memang rugi tau.

Hari ini, saya ingin kongsikan bersama anda semua tentang salah-satu pohonan yang diciptakan oleh Allah swt ini kepada manusia. Alhamdulillah ia menjadi buah-buahan yang banyak memberikan manfaat kepada tubuh badan manusia. 

Buah mangga kebiasaannya didapati di kawasan Asia termasuk Malaysia. Secara ilmiah ia dikenal dengan nama Mangifera Indica dan digolongkan ke dalam kelompok suku Anacardiceae.


Antara manfaat buah mangga adalah seperti berikut:
1) Mencegah kanser

Buah mangga mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi yang dapat menghalang dan mencegah dari berlakunya kanser seperti kanser payudara, kanser prostat, luekimia, kanser usus dan lain-lain lagi. Antara kandungan antioksidan pada buah mangga adalah seperti astragalin, fisetin, asam galat dan lain-lain lagi. 

Bagaimana anti-oksidan ini berfungsi? Anti-oksidan berfungsi dengan mencegah tubuh manusia daripada serangan radikal bebas seperti pancaran cahaya matahari, pencemaran, asap kenderaan dan rokok dan sebagainya. Radikal bebas ini lah yang menjadi salah-satu punca kepada berlakunya kanser dalam badan manusia. 

2) Mencegah kolestral

Kolestral merupakan salah satu punca kepada penyakit kronik tertentu seperti masalah jantung, masalah kegemukan dan obesiti. Apabila terjadinya masalah obesiti, maka akan menjadi punca juga kepada penyakit diabetes.

Oleh yang demikian, buah mangga yang bewarna kuning juga mampu menjadi salah-satu agen pencegahan kepada terjadinya kolestral dalam tubuh manusia. Bagaimana ianya bertindak? Buah mangga mengandungi sumber vitamin C yang tinggi. Vitamin C ini akan berfungsi untuk mendetoksikan darah dari unsur-unsur yang tidak diperlukan badan. 

3) Kesihatan mata

Selain daripada sumber vitamin C yang tinggi, buah mangga juga memiliki kandungan Vitamin A yang mana seperti yang kita sedia maklum, vitamin A merupakan sumber vitamin yang sangat baik untuk kesihatan mata samada mengelakkan daripada masalah rabun, silau mahupun potensi mengalami masalah mata yang lain seperti katarak, mata kering dan sebagainya.

4) Kesihatan dan Kecantikan Kulit

Buah yang mengandungi vitamin C dan vitamin A yang tinggi ini juga mampu membekalkan vitamin yang sangat bagus untuk kecantikan kulit. Ianya mampu memberikan kesegaran kepada kulit sekaligus mengatasi masalah kulit seperti kulit tidak bermaya, berjeragat dan sebagainya. 

5) Membantu masalah pencernaan

Kebiasaannya, buah-buahan yang mengandungi tinggi kandungan air dan serat boleh membantu masalah penghadaman dan pencernaan tubuh. Andai anda punya masalah sembelit, banyakkan mengambil buah-buahan berserat tinggi seperti ini untuk melancarkan sistem pencernaan tubuh anda. 

6) Meningkatkan sistem imunisasi tubuh

Bagaimanakah yang dikatakan sebagai bertindak sebagai imunisasi tubuh? Buah mangga memiliki kandungan vitamin C tinggi di mana vitamin C sangat diperlukan dalam membina kekebalan tubuh manusia daripada serangan jangkitan penyakit seperti demam, selesema dan batuk. 

7) Meningkatkan seksual di kalangan pasangan berkahwin

Kandungan vitamin E dalam buah mangga mampu meningkatkan sesksualiti terutamanya di kalangan suami. Produktiviti dari segi seksual ini sangat diperlukan dalam hubungan suami isteri. Pengambilan vitamin E yang secukupnya sangat membantu mengatasi masalah ini. 


Berdasarkan beberapa manfaat yang saya sebutkan di atas, kita dapat melihat bahawa pengambilan sebiji buah mangga mampu memberikan pelbagai manfaat dan khasiat kepada tubuh badan manusia. 

Oleh itu, amalkan pengambilan buah mangga secara kerap tetapi bersederhana. InsyaAllah anda akan dapati perbezaannya apabila mengamalkan pengambilan buah-buahan dalam diet seharian.  

Jom amalkan hidup yang sihat!!!


Salam Sayang,
Ummu Hanan

Never Lose Hope...



Sumber:
1) http://goo.gl/vDdITR
2) http://goo.gl/OOXlY6

No comments:

Post a Comment