Sunday, September 14, 2014

Duhai Wanita! Jangan Bersedih dan Berputus-Asa dengan Rahmat Allah...

Jangan bersedih dan berputus harap dengan rahmat Allah

Duhai Wanita! Jangan Bersedih dengan Rahmat Allah...

Pernah tak sesekali anda rasa putus asa? Anda rasa hilang semangat? Anda rasa seolah-olah kehidupan anda ini terlalu sukar berbanding orang lain? Atau sesekali anda terasa “Kenapalah si fulanah tu senang je dapat rezeki..Kenapalah si fulanah tu mudah je Allah kabulkan permintaannya? Kenapalah si fulanah tu mudah saja kehidupannya” Pernah anda rasa sebegini?
Mari.. Saya kongsikan bersama anda kisah yang mungkin menjadi pemangkin semangat kepada anda semua, duhai wanita pilihan..

Hidup kita tidak kan pernah lari dari masalah, tidak kan pernah lari dari ujian dan cabaran, tidak pernah lari dari jerih perih kehidupan. Semuanya perlu melalui kesukaran, semuanya perlu melalui cabaran. Kerana apa? Kerana dunia ini hanya pinjaman untuk kita bercucuk tanam, hanya pinjaman untuk kita menyemai benih-benih yang bakal kita kaut hasilnya di akhirat sana yang kekal abadi. Kehidupan di dunia hanya sementara.

Mari hayati firman Allah swt dalam surah al-Ankabut: ayat 2 dan 3 ini:

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta"

Andai tiada ujian, tiada cabaran, mana kan mungkin kita mampu mengumpul bekal untuk ke sana di atas kesabaran. Benar bukan?

Firman Allah swt dalam Surah Ali-Imran: ayat 142 yang bermaksud:

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar"

Bersabarlah dengan ujian dari Allah swt kerana pada hakikatnya Allah ingin menguji sejauh mana kita semakin dekat padanya bila mana kita ditimpakan dengan ujian. Adakah kita semakin menjauh? Atau kita semakin hampir dan dekat padanya sebagaimana firman Allah swt seperti berikut:

"Apakah kalian mengira akan masuk syurga sedangkan belum datang kepada kalian (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat"  (Surah Al-Baqarah: ayat 214)

Antara tips yang anda boleh amalkan merawat hati yang gundah-gulana adalah:
1) Perbanyakkan istighfar 
2) Bangun solat tahajud pada 1/3 malam memohon kekuatan daripada Allah SWT
3) Perbanyakkan sedekah
4) Perbanyakkan baca al-Qur'an
5) Perbanyakkan doa untuk ibubapa.
6) Sentiasa memaafkan orang lain
7) Baca buku-buku motivasi 
8) Hadiri kuliah-kuliah agama
9) Sentiasa tersenyum.
10) Pandang sekeliling anda, lihat dan perhatikan. Anda akan rasa kesusahan anda tidak sehebat kesusahan orang lain.


Ini cuma antara sebahagian tips sahaja yang boleh anda amalkan. Mungkin banyak lagi tips yang boleh anda aplikasikan dalam kehidupan harian anda. 

So, jangan sedih-sedih. Tidak salah untuk anda bersedih kerana ianya mungkin boleh menjadi pemangkin kepada diri anda untuk bermuhasabah dan menjadi orang yang lebih positif. Tetapi, jangan praktikkan perkara berikut ketika anda bersedih kerana syaitan sentiasa menanti dan berada disamping anda untuk melakukan keburukan seperti berikut:

*Marah tidak tentu hala
*Menjerit-jerit dan meraung menangisi kesusahan dan ujian
*Memaki hamun orang lain
*Cuba untuk membunuh diri

InsyaAllah, Allah akan hadirkan pelangi dan sinar kebahagian bagi hambaNya yang bersabar.. Sabarlah duhai wanita! Jangan bersedih dengan rahmat Allah..


Salam Sayang,
Ummu Hanan


Never Lose Hope...

1 comment:

  1. alhamdulillah...memang yang saya sedang perlukan pada saat ini. terima kasih

    ReplyDelete