Saya yakin dan percaya, masalah peningkatan berat badan di kalangan ibu menyusu menjadi satu perkara yang sangat dibimbangi. Saya juga mengalami dilema sebegitu satu ketika dahulu.
Oleh yang demikian, kebiasaannya para ibu mulai sibuk untuk
mencuba pelbagai usaha demi menurunkan berat badan mereka. Bagi mereka yang
memilih untuk tidak menyusukan bayi sepenuhnya, mungkin ia tidak menjadi satu
masalah. Tetapi, bagaimana pula dengan ibu-ibu yang memilih untuk menyusu badan
secara eksklusif selama 2 tahun, sekali gus ingin menurunkan berat badan?
Adakah cara untuk mengatasi masalah ini? Atau mungkinkah ia mampu menjejaskan
penyusuan anda?
Hari ini saya ingin kongsikan bersama rakan-rakan semua
beberapa panduan yang dikongsikan melalui buku “Hebatnya Susu Ibu”
tentang penurunan berat badan ketika menyusu badan.
Tahukah anda, sebenarnya penyusuan badan sepenuhnya sangat
membantu para ibu dalam menurunkan berat badan seandainya dilakukan dengan
betul. Atau mungkin sekalipun tidak dapat menurunkan berat badan secara
mendadak, apa yang ibu boleh amati, berat anda akan berada pada tahap yang ‘maintain’
sepanjang penyusuan. Berat tidak akan naik dalam keadaan mendadak selagi anda
menyusu badan.
Pada hakikatnya, ibu yang menyusukan bayi memerlukan lebih tenaga
untuk menyusukan bayi iaitu sebanyak 200-500 kalori sehari berbanding wanita
normal. Tahukah anda, lemak yang berlebihan ketika hamil akan digunakan sebagai
tenaga untuk penghasilan susu ibu. Maka, tidak hairanlah penyusuan sebenarnya
membantu ibu-ibu menyingkirkan lemak yang berlebihan!
Jika anda ingin menurunkan berat badan tanpa menjejaskan
penyusuan susu ibu, berikut merupakan beberapa Panduan yang mungkin boleh
membantu anda:
1) Tangguh diet sehingga bayi berusia dua bulan
Kebiasaannya, tempoh penghasilan susu yang stabil adalah
pada 2 bulan pertama kelahiran. Oleh yang demikian, berikan masa untuk tubuh
anda menghasilkan susu dengan baik dan tanpa gangguan yang mungkin terjejas disebabkan
diet. Anda harus ingat.. apabila menyusukan bayi, anda bakal kehilangan 200-500
kalori tanpa sebarang kalori! (Ini sudah membantu)
2) Susukan bayi secara kerap dan tanpa had
Berikan sebanyak mungkin penyusuan mengikut kehendak dan
keperluan bayi tanpa had masa. Terdapat kajian yang telah membuktikan bahawa
penyusuan secara kerap dan konsisten sekurang-kurangnya 6 bulan, dapat membantu
penurunan berat badan ibu.
3) Pantau kalori sehari antara 1500-1800
Seorang ibu menyusu memerlukan sekurang-kurangnya antara
1500-1800 kalori setiap hari. Namun, ada sesetengah ibu mungkin memerlukan
lebih dari ini. Harus diingat, seandainya anda mengambil jumlah kalori yang
lebih rendah daripada 1500 kalori sehari, mungkin penghasilan susu anda bakal
terjejas. Jadi, seandainya anda berdiet dengan mengurangkan jumlah kalori, anda
bakal berhadapan dengan situasi penurunan bekalan susu badan.
4) Berat hilang tidak lebih 0.7 kg seminggu
Kehilangan berat badan anda sebanyak 0.7 kg seminggu atau
2.7 kg sebulan selepas bayi berumur 2 bulan tidak akan menjejaskan penghasilan
susu ibu atau memudaratkan bayi anda.
5) Kurangkan kalori secara beransur-ansur dan sedikit demi
sedikit
Apabila kehilangan kalori dilakukan secara mendadak akibat
diet ibu, ini akan menjadi punca kepada penurunan penghasilan susu ibu. Apabila
ibu ditimpa sakit dan kurang minum air kosong, selain pengambilan sebarang ubat
tertentu antara faktor yang menyebabkan penghasilan susu ibu terjejas.
6) Elakkan mengambil jalan mudah
Jangan mengambil sebarang ubat untuk mengurangkan berat
badan ketika masih menyusukan bayi. Seandainya anda ingin mengambil sebarang
supplement, pastikan ia tidak mengandungi bahan yang mengandungi bahan kimia
yang boleh menjejaskan anda dan penghasilan susu ibu. Pastikan ia benar-benar
selamat untuk diambil.
Cuba ikuti tips berikut:
1) Ubah Diet
Kurangkan pengambilan lemak kepada lebih kurang 20-25%
daripada jumlah kalori. Pastikan pengambilan protein lebih dari biasa.
Pengambilan protein untuk ibu yang menyusukan bayi adalah sebanyka 65 gm/sehari
untuk 6 bulan pertama dan 62 gm/sehari untuk 6-12 bulan seterusnya.
2) Pengambilan kalori teratur
Jika biasanya anda makan 2-3 kali sehari, cuba makan dengan
kuantiti yang sedikit tetapi kerap sebanyak 3 kali sehari dan diselang-selikan
dengan pengambilan snek yang berkhasiat. Pengambilan makanan yang berterusan
sepanjang hari dapat memastikan pengambilan kalori secara teratur tanpa
menjejaskan penghasilan susu ibu.
3) Senaman ringan
Lakukan senaman ringan di rumah sendiri. Ia boleh membantu
anda untuk membakar lemak yang berlebihan di samping memastikan otot anda sentiasa
kekal kuat. Anda boleh mencari jenis senaman yang sesuai untuk anda lakukan
biarpun anda punya anak kecil.
4) Pemakanan sihat
Banyakkan pengambilan sayuran hijau dan buah-buahan. Selain
itu, banyakan pengambilan makanan bersumberkan protein seperti tauhu, tempe,
kekacang, bijirin dan soya. Perlu diingat, pengambilan snek bukan bermaksud
anda mengambil makanan ringan yang tinggi gula dan garam. Tetapi lebih kepada
pemakanan yang sihat seperti snek sayuran atau snek buah-buahan dan sebagainya.
Pelbagaikan pemakanan sihat anda..
So, ibu-ibu menyusu jangan risau berat anda meningkat secara
mendadak. Amalkan panduan dan tips ini, insya-Allah ia membantu anda
mendapatkan berat badan ideal anda semula di samping dapat memberikan anak anda
susu ibu sepenuhnya tanpa halangan.
Selamat mencuba!
Salam sayang,
Ummu Hanan
Never Lose Hope...
Sumber:
Buku “Hebatnya Susu Ibu!”
Penulis: Rita Rahayu Omar
Halaman: 162-164
No comments:
Post a Comment